ISU PENDATANG: HORMATI UNDANG-UNDANG NEGARA INI

PUTRAJAYA: Langkah kerajaan melakukan operasi tangkapan pendatang tanpa izin di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah berdasarkan undang-undang sedia ada dan demi melindungi kepentingan negara. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menegaskan perkara itu berkata sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia mempunyai kuasa untuk melaksanakan tindakan tersebut dan semua pihak harus menghormati undang-undang negara ini. 

“Keputusan menjaga kepentingan negara kita adalah hak kita dan kita laksanakan ini berdasarkan undang-undang yang ada,” katanya dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Amnesty International yang mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menahan pendatang tanpa izin di kawasan PKPD dan mendakwa keputusan meletakkan mereka di depoh tahanan Imigresen meningkatkan risiko mereka mendapat jangkitan COVID-19.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata semua pendatang tanpa izin yang ditahan dari kawasan PKPD diwajibkan menjalani saringan COVID-19 sebelum dihantar ke depoh tahanan.

“Mereka yang dari kawasan PKPD menjalani ‘swab test’ dan yang di kawasan Masjid India (Kuala Lumpur), saya difahamkan (mereka menjalani) tiga kali (ujian swab),” katanya.

Beliau berkata keputusan meletakkan pendatang tanpa izin di depoh Imigresen juga adalah bagi memastikan mereka tidak bergerak bebas setelah PKPD di satu-satu kawasan ditamatkan.

“Selepas tamat PKPD, ke mana mereka hendak pergi? Adakah sesiapa yang masuk ke negara kita, kita benarkan sahaja mereka bebas bergerak walaupun mereka tiada dokumen perjalanan sekalipun? ” soalnya sambil menambah Amnesty International perlu menghormati undang-undang Malaysia.

Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan memastikan jarak sosial terus diamalkan di depoh-depoh tahanan Imigresen.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus memperketat kawalan sempadan supaya pendatang asing tidak masuk ke Malaysia termasuk melalui lorong-lorong tikus. — BERNAMA

Leave a Reply