COVID-19: 122 KES BAHARU, DUA KEMATIAN HARI INI

KUALA LUMPUR: Kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini meningkat 17 kes berbanding semalam kepada 122 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat 12 tengah hari tadi ialah 6,298 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, 52 adalah kes import, manakala 70 lagi adalah kes penularan tempatan.

“Sehingga kini, 27 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan daripada jumlah itu, 13 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Kebangsaan (CPRC), terdapat pertambahan dua lagi kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 105 kes,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya yang disiarkan stesen TV tempatan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,780 kes.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 kepada pekerja dan penghuni pusat jagaan warga emas secara berfasa.

Dr Noor Hisham berkata ini kerana warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk jangkitan COVID-19.

Berdasarkan kajian kematian ke atas 99 daripada 105 kes kematian yang telah dilaporkan di Malaysia, kumpulan umur yang mempunyai bilangan kematian COVID-19 yang tertinggi adalah di antara 61 hingga 70 tahun. — AlHijrah Online

Leave a Reply