CAWANGAN TH DIBUKA SECARA BERPERINGKAT BERMULA ESOK

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka pejabat cawangannya secara berperingkat bermula esok dengan waktu operasi dari jam 10 pagi sehingga 3 petang.

Pembukaan operasi TH itu selaras dengan hasrat kerajaan merangsang semula ekonomi negara yang terjejas selepas pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Perkhidmatan yang disediakan untuk pendeposit TH adalah terhad kepada urusan pembukaan akaun, aktiviti simpanan dan pengeluaran, mengemas kini akaun dan pendaftaran haji.

“Manakala, semua urusan pengendalian haji (menerima tawaran tunai haji dan penyerahan pasport) ditangguhkan buat sementara waktu sehingga TH memperolehi keputusan rasmi berkaitan status Musim Haji 1441H/2020 daripada Kerajaan Arab Saudi,” kata TH dalam kenyataannya di sini hari ini.

TH berkata bagi memastikan aspek kesihatan dan keselamatan terjaga, ia akan menjalankan proses saringan suhu badan dan menyediakan hand sanitizer untuk pendeposit yang hadir di pejabat cawangan TH.

“Pendeposit juga dinasihatkan untuk memakai penutup muka dan menjaga penjarakan sosial semasa berurusan.

“Bilangan pendeposit di dalam cawangan akan dihadkan bagi memastikan jarak sosial efektif,” kata kenyataan itu.

Pendeposit digalakkan menggunakan khidmat perbankan elektronik melalui aplikasi THijari atau melalui perbankan internet yang ditawarkan melalui rakan perbankan strategik TH. — AlHijrah Online

Leave a Reply