JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berjaya merampas 11 alas kaki tertera gambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat, sehari sebelum hari raya Aidilfitri lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia susulan aduan orang awam terhadap tindakan pasar raya yang menjual alas kaki itu sempena raya Aidilfitri.
Mohd Fared berkata, pasar raya tersebut sudah dipanggil untuk memberi keterangan serta diberi amaran untuk lebih berhati-hati dalam penjualan produk yang tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Sebenarnya tindakan pemeriksaan dan pemantauan sudah dibuat sehari sebelum Aidilfitri susulan aduan awam, selain ia tular di media sosial.
“Hasil pemeriksaan mendapati 11 unit alas kaki dengan gambar Kaabah itu sudah dirampas dengan pemantauan juga masih berterusan di seluruh negeri ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mohd Fared mengulas, kenyataan berhubung kejadian itu tidak dikeluarkan sebelum ini bagi menghormati sambutan Aidilfitri selain meredakan kerisauan awam.
Terdahulu, tular di media sosial gambar yang memaparkan alas kaki tertera gambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat.—AlHijrah Online
Pingback: ALAS KAKI DIRAMPAS SEBENARNYA SEJADAH MINI – AEON BIG – ALHIJRAH ONLINE