JAKIM TUBUH PASUKAN KHAS PENGURUSAN JENAZAH COVID-19

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Seramai 18 petugas Pasukan Khas Pengurusan Jenazah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini dalam keadaan bersiapsiaga bagi menguruskan jenazah meninggal dunia akibat wabak penyakit itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hakimah Mohd Yusoff berkata pasukan terbabit, termasuk lima petugas wanita, meliputi pegawai dari JAKIM, masjid-masjid utama di bawah agensi agama itu dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara dan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan, JAKIM telah mempersiapkan pasukan khas pengurusan jenazah sebagai langkah siap siaga. 

“Pasukan ditubuhkan sejak wabak ini melanda negara telah diberi taklimat dan penerangan mengenai kaedah pengurusan jenazah secara khas berpandukan pandangan hukum yang diputuskan Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020.

“Muzakarah itu bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa COVID-19 menggunapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107 bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook JAKIM hari ini.

Hakimah berkata pandangan itu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply