JALAN RAJA LAUT 1 PERLU DIKEKALKAN, CARI LOKASI LAIN SEBAGAI JALAN PALESTIN – ANNUAR MUSA

KUALA LUMPUR: Keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menukar Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat termasuklah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Kata Annuar beliau tiada halangan dengan usaha mewujudkan Jalan Palestin sebagai tanda sokongan terhadap pembebasan Al-Quds, namun mahukan penjelasan kenapa Jalan Raja Laut 1 yang mempunyai sejarah tersendiri dipilih.

“Kenapa pilih tukar nama Jalan Raja Laut nama besar sejarah melayu dan Kuala Lumpur. Kenapa tidak tukar (jalan) nama inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Cochrane dan lain-lain,” katanya dalam ciapan di Twitter rasminya.

Tambah Annuar lagi, beliau telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan untuk mencari lokasi baru yang lebih sesuai dinamakan Jalan Palestin.

“Datuk Bandar akan cari jalan lain yang lebih sesuai untuk dinamakan Jalan Palestin. Jalan Raja Laut 1 hendaklah dikekalkan seperti asal,” katanya.

Menurut DBKL, cadangan untuk mewujudkan Jalan Palestin di Kuala Lumpur tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei 2019. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply