PKPDB DI LAHAD DATU, TAWAU, KUNAK DAN SEMPORNA

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna, Sabah.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPDB secara pentadbiran itu berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini, 29 September hingga 12 Oktober 2020.
Menurut Ismail Sabri arahan terbaru itu selepas mengambil kira peningkatan kes di kesemua lokasi terlibat.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 1,195 kes positif COVID-19 di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hinggga 27 September 2020.
“Daripada jumlah itu, Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau 634 kes, Kunak 65 kes dan Semporna 255 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ismail Sabri, semua penduduk dari kawasan PKPDB tidak dibenarkan keluar sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan dan pelawat serta bukan penduduk tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat.
Selain itu semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan di empat daerah terbabit.
Pangkalan Perubatan kata Ismail Sabri akan dibuka di kawasan PKPDB dan semua laluan keluar masuk ke empat daerah berkenaan akan ditutup.
“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan dan pegawai yang diberi kuasa akan mengawal seluruh kawasan terlibat,” tambahnya.
Ismail Sabri berkata penduduk dinasihatkan bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa. — AlHijrah Online