JANGAN BAWA PULANG COVID-19 KE KAMPUNG – DG HISHAM

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: “Ambil tindakan proaktif untuk jalani ujian air liur RTK Ag kendiri supaya kita dapat pastikan kita tidak bawa jangkitan kepada mereka di kampung,” demikian peringatan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada orang ramai yang ingin merentas negeri bagi tujuan balik ke kampung dan melancong.

“Sedikit masa lagi rakyat Malaysia akan dibenarkan merentas negeri untuk balik kampung dan melancong.

“Tetapi ingin diperingatkan agar kita ambil tindakan proaktif untuk jalani ujian air liur RTK Ag kendiri supaya kita dapat pastikan kita tidak bawa jangkitan kepada mereka di kampung,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasminya.

Setakat 6 Oktober 2021, 88.8 peratus atau 20,786,568 daripada populasi dewasa di Malaysia telah lengkap divaksinasi manakala 94.6 peratus atau 22,135,242 menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Ini bermakna hanya tinggal 1.2 peratus sahaja lagi untuk mencapai 90 peratus kadar populasi dewasa lengkap divaksinasi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan rentas negeri akan dibenarkan selepas 90 peratus daripada populasi dewasa negara telah menerima vaksinasi lengkap.—AlHijrah Online

Leave a Reply