GPM DAN MVM HANTAR BANTUAN KEMANUSIAAN KE LOWGAR, AFGHANISTAN

LOWGAR (AFGHANISTAN) : Selepas memasuki Afghanistan pada 24 September lalu, Misi Kecemasan Afghanistan anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia dengan kerjasama Muslim Volunteer Malaysia (MVM) hari ini berjaya mengagihkan bantuan kemanusiaan di Pule Alam.

Pule Alam adalah bandar di wilayah Lowgar yang terletak kira-kira sejam setengah perjalanan darat di selatan bandar Kabul, antara laluan masuk ke ibu negara Afghanistan itu.

Seramai 80 keluarga rakyat Afghanistan terjejas perang dan memerlukan menerima bekalan makanan selama sebulan yang meliputi 50kg tepung, 25kg beras, minyak masak 5L, kacang 2kg, gula 3kg dan teh 1kg.

Pengagihan bantuan makanan yang dilakukan di kawasan Majlis Perbandaran Pule Alam dengan kawalan anggota Taliban disaksikan Datuk Bandar Pule Alam, Rafiullah Ahmad Zai dan Ketua Misi Kecemasan Afghanistan GPM 2021, Azlan Mohd Syarif.

Turut menyertai misi itu adalah Ketua Pegawai Operasi GPM, Syahrir Azfar Saleh; Ketua Pegawai Operasi MVM Muhammad Hasbullah Md Najib, Mohd Ridzuan Othman (Media MVM), Mohamad Aizuddin Zamzam (Media GPM) dan Koresponden Berita AlHijrah, Syed Azwan Syed Ali merangkap Ahli Pemegang Amanah MVM.

“Kami berterima kasih kepada NGO dan rakyat Malaysia atas sumbangan kemanusiaan hari ini,” kata Rafiullah menjelaskan wilayah Lowgar terkenal dengan sebagai kawasan pertanian utama di Afghanistan.

Rafiullah mengalu-alukan masyarakat dunia, khususnya NGO Malaysia, untuk membantu warga Afghanistan terjejas selain meneroka program kemanusiaan jangka panjang di negara yang baru keluar dari kancah peperangan itu.

Sebelum ini, GPM dan MVM menjadi pasukan NGO pertama Malaysia yang berjaya memasuki Afghanistan sejak Taliban mengambil alih kerajaan negara bergolak pada 15 Ogos lalu menyampaikan bantuan makanan kepada 260 keluarga terjejas perang di Paghman (Kabul) dan Jalalabad (Nangarhar).

Misi kemanusiaan yang bertujuan mengumpulkan fakta sebenar dan terkini di Afghanistan itu juga turut menyampaikan pek makanan kepada 1,000 pelarian dalaman (IDP) di Shahrernouw Park yang terletak di tengah-tengah bandar Kabul.

Mereka dijangka berada di Afghanistan untuk tempoh sekurang-kurangnya seminggu lagi sebelum dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia secara berperingkat-peringkat. — AlHijrah Online

Leave a Reply