RUU KAWALAN TIDAK SEKAT KEBEBASAN ORANG BUKAN ISLAM

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin atau Kepercayaan Agama dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2021 (RUU Kawalan) bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama bagi penganut bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, RUU tersebut hanya terpakai untuk orang Islam jika diluluskan kelak.

“RUU ini merupakan sekatan pengembangan doktrin atau pengembangan agama dalam kalangan orang Islam sahaja.

“Orang bukan Islam bebas untuk menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka tetapi tidak dalam kalangan orang Islam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu menjawab soalan ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung status RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU355 dan RUU Kawalan, Idris berkata kedua-duanya akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan sivil yang dijadualkan pada 12 hingga 14 Oktober 2021 setelah dimuktamadkan

Kerajaan juga melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan mesyuarat membincangkan RUU 355 dengan melihat pelbagai aspek perlembagaan undang-undang dan hukum syarak agar undang-undang itu lebih komprehensif dan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah diperkasakan.

Tambahnya RUU Kawalan juga dibincang dengan mendalam bagi memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. – AlHijrah Online

Leave a Reply