SOLAT HAJAT DAN QUNUT NAZILAH MOHON PALESTIN DILINDUNGI DARI KEZALIMAN ZIONIS

KUALA LUMPUR: Majlis solat sunat hajat, doa selamat dan Qunut Nazilah akan dianjurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi memohon Allah swt melindungi rakyat Palestin dari penindasan rejim zionis Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata penganjuran majlis itu sebagai menyahut titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar rakyat negara ini mendoakan kesejahteraan umat Palestin.

“Titah seruan Seri Paduka Baginda agar seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama, bersama-sama baginda mendoakan perlindungan dan pemeliharaan rakyat Palestin dari cengkaman penjajahan dan penindasan rejim Israel.

“Bagi umat Islam di Wilayah Persekutuan, satu majlis solat sunat hajat, doa selamat dan Qunut Nazilah akan dianjurkan dalam masa terdekat oleh JAWI,” kata Zulkifli dalam kenyataannya di sini hari ini.

Zulkifli menegaskan pendirian kerajaan Malaysia adalah konsisten dalam isu konflik Palestin–Israel dengan terbaharu Putrajaya mengecam tindakan Israel mengilhakkan sebahagian tanah Palestin yang dijajah di Tebing Barat.

“Kezaliman Israel terhadap Palestin wajib ditentang secara konsisten oleh seluruh masyarakat Malaysia bagi memberi tekanan berterusan agar kekejaman dihentikan,” katanya. — AlHijrah Online/ Zaim Zamani

Leave a Reply