KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tampil memperjelaskan isu teks Khutbah Jumaat yang bertajuk “Ahli Sunnah Wal-Jamaah Benteng Akidah Zaman-Berzaman” yang akan dibacakan di masjid dan surau Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan pada 11 Okt.
JAWI dalam kenyataannya menjelaskan setiap teks Khutbah Jumaat yang disediakan, berpandukan Garis Panduan Penulisan Teks Khutbah JAWI dan Manual Panduan Penyediaan Teks Khutbah dan Khutbah Multimedia.
“Penulis-penulis khutbah terdiri daripada pakar dan ilmuan dalam pelbagai bidang termasuklah ahli akademik, pegawai agama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), JAWI, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan agensi berkaitan.
“Teks Khutbah Jumaat JAWI pada minggu ini disediakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) serta melalui proses semakan Jawatankuasa Penyemakan Khutbah dan pengesahan oleh Bahagian Pengurusan Masjid JAWI sebelum diterbitkan,” katanya pada malam tadi.
Ujarnya, teks Khutbah Jumaat JAWI lazimnya disediakan mengambil kira perkembangan isu-isu semasa yang menyentuh tentang kemaslahatan dan menjadi medium pencerahan pemikiran umat Islam khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Terdahulu, tular sebuah hantaran di Facebook yang mempertikaikan teks Khutbah Jumaat yang disediakan JAWI selain mendakwa JAWI ditekan oleh pihak-pihak tertentu.—AlHijrah Online