JENAZAH MAMAT KHALID SELAMAT DIKEBUMIKAN

IPOH: Jenazah pengarah dan penerbit terkenal, Mamat Khalid, 58 tahun yang meninggal dunia tengah malam tadi, selamat dikebumikan di Kampung Paloh, Ipoh pukul 2.20 petang tadi.

Jenazah Allahyarham Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid yang meninggal dunia akibat serangan jantung dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Paloh.

Terdahulu, jenazah allahyarham dibawa dari Hospital Slim River ke kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 sekitar pukul 6 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan pada pukul 1.53 petang.

Jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam, Ipoh.

Pengebumian jenazah pengarah tersohor itu dihadiri lebih 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, penduduk kampung dan rakan rakan artis.

Allahyarham yang juga adik kepada kartunis terkenal negara, Datuk Lat menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

Beliau sebelum itu pengsan di restoran miliknya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Mamat Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak.

Mamat mendirikan rumah tangga dengan dengan Hasmah Hassan pada 12 April 1987 dan dikurniakan lima orang cahaya mata iaitu Mohd Khalid Zaffa, Nor Sara, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Amen dan Nur Hassanan.

Antara karyanya yang paling popular ialah Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang.

Sementara itu kartunis legenda, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat menyifatkan allahyarham adik bongsunya itu pencinta seni tegar.

Ujar beliau, kini tiada lagi gelak tawa dalam keluarga dari allahyarham yang dikenali seorang yang suka berjenaka.

“Saya rasa arwah dah dapat pelbagai pencapaian dan berpuas hati dengan kerjayanya. Pada saya dia seorang yang sangat berusaha keras sehinggakan ketika pengambaran satu kampung bekerjasama,” katanya.

Datuk Lat berharap sumbangan allahyarham Mamat dalam mengangkat seni akan terus memberi manfaat kepada negara termasuk negeri Perak. –AlHijrah Online

Leave a Reply