PENUNTUT IPT GUNA WANG PTPTN DITIPU SKIM CEPAT KAYA

KOTA BHARU: Akibat terpedaya skim cepat kaya pelaburan mata wang kripto, lebih 50 penuntut dari sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Kota Bharu kerugian lebih RM200,000 apabila masing-masing membuat pelaburan di antara RM1,000 hingga lebih RM10,000 seorang.

Mereka membuat pelaburan selepas terpikat dengan janji manis dan keuntungan melebihi satu peratus sehari serta 30 peratus sebulan dan ada penuntut menggunakan wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melabur.

Seorang penuntut yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, 21, berkata, dia mula memasuki pelaburan membeli mata wang kripto itu apabila seorang pensyarahnya yang juga ketua pelaburan tersebut membuat iklan di dalam kumpulan Whatsapp pada Jun lalu.

Beliau mula memasukkan wang RM138 sebanyak lebih 10 kali ke lima akaun berbeza sehingga mengalami kerugian hampir RM4,000.

Lebih malang, beliau juga mengajak adiknya untuk turut membuat pelaburan dengan jumlah RM2,800 kerana percaya pelaburan itu memberi keuntungan selepas melihat akaunnya bertambah menjadi lebih RM9,000.

Walau bagaimanapun, beliau tidak sempat mengambilnya kerana laman sesawang tersebut hilang sejak 18 Oktober lalu.

“Kali terakhir saya tengok ada RM9,000 dan saya terpanggil nak ajak adik untuk sama-sama melabur. Kami gunakan wang simpanan PTPTN untuk pelaburan itu.

“Tapi sekarang kami dah hilang wang simpanan, nak makan pon perlu dicatu,” katanya.

Seorang lagi penuntut, Johan, 21, yang turut mengalami kerugian lebih RM2,000 apabila memasukkan wang berkenaan ke akaun pelaburan yang menggunakan beberapa nama syarikat.

Katanya, dia juga menyertai pelaburan itu pada Jun selepas tertarik dengan iklan oleh pensyarahnya yang menjanjikan keuntungan bagi setiap pelabur.

“Saya dan adik sertai pelaburan pada bulan Jun lalu dan kerugian saya sekitar RM1,300 manakala kerugian dia lebih RM100,” katanya.

Mereka semua telah tampil membuat laporan di balai polis Kota Bharu, Khamis lalu selepas laman sesawang pelaburan tersebut tidak dapat diakses sejak 18 Oktober lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat ketika dihubungi berkata, dalam tempoh 18 Oktober sehingga semalam, pihaknya menerima sebanyak 21 laporan polis berhubung pelaburan mata wang kripto daripada mangsa.

Katanya, jumlah kerugian yang dilaporkan hampir RM900,000 di mana membabitkan kerugian mangsa antara RM140 hingga RM200,000.

Susulan laporan itu, polis membuat siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun serta sebat dan boleh juga dikenakan denda. –AlHijrah Online

Leave a Reply