JENAZAH TOKOH QARI MALAYSIA, DATUK ABDUL HAK SELAMAT DIKEBUMIKAN

PENDANG: Jenazah Tokoh Qari Malaysia Allahyarham Datuk Abdul Hak @ Abd Ghani Abdullah, 81 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Batu Hampar Kanan, kira-kira jam 11 pagi tadi, di sini hari ini.
Perkara tersebut dimaklumkan anak Allahyarham Azraie Abdul Hak yang juga Qari Malaysia menerusi hantaran di Facebook.
ARTIKEL BERKAITAN – JENAZAH TOKOH QARI MALAYSIA, DATUK ABDUL HAK SELAMAT DIKEBUMIKAN
“Alhamdulillah, selesai urusan pengebumian Ayahanda Almarhum Abdul Hak.
“Saya wakil kepada adik beradik yang lain mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi ucapan takziah, datang menziarahi, datang solat jenazah dan datang ke tempat pengebumian memberi penghormatan terakhir kepada arwah. Moga Allah memberi rahmat kepada kalian semua,” kata anaknya Azraie Abdul Hak menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam Allahyarham yang juga Johan Tilawah Al Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.45 malam tadi.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Dalam hantaran di Facebooknya, Na’im menyifatkan Allahyarham Datuk Abdul Hak sebagai seorang tokoh ilmu taranum Al-Quran yang amat dihormati.
“Keluarga Almarhum sentiasa menjadi contoh sebagai keluarga yang menghidupkan Al-Quran. Almarhum telah membimbing serta mendidik para qari dan qariah di negara kita.
“Jasa Almarhum begitu besar khususnya pembangunan ilmu taranum Al Quran,” katanya.—AlHijrah Online