JOE BIDEN RAI ISMAIL SABRI, PEMIMPIN ASEAN DI WHITE HOUSE

WASHINGTON: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pemimpin ASEAN di The White House pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Presiden Biden mengadakan pertemuan dengan para pemimpin ASEAN bersempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS selama dua hari di sini, bermula Khamis.

Pertemuan bersejarah ini dilihat sebagai titik permulaan untuk membawa impak positif terhadap hubungan diplomatik, dagang dan ekonomi kepada Malaysia.

Ismail Sabri turut menekankan kepaksian ASEAN dalam kerjasama ASEAN-AS pada sidang kemuncak itu, selain berharap semoga sidang kemuncak khas ini akan menjadi landasan strategik bagi ASEAN dan AS mengkaji serta meneroka bidang kerjasama pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada.

Ismail Sabri turut menyertai Biden dan pemimpin ASEAN untuk sesi bergambar secara berkumpulan di pekarangan The White House sebelum menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Presiden Biden.

Sidang kemuncak khas dengan pemimpin negara Asia Tenggara itu kali kedua dianjurkan oleh Presiden AS di negara ini.

Pada Februari 2016, Presiden AS ketika itu, Barack Obama meraikan pemimpin ASEAN di Sunnylands, California.

Pemimpin ASEAN lain yang menghadiri pertemuan kali ini ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia Joko Widodo; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Laos, Dr Phankham Viphavanh juga turut serta.

Filipina yang baru sahaja melangsungkan pilihan raya diwakili Setiausaha Luar Teodoro Locsin Jr., manakala tiada wakil dari Myanmar yang kini diperintah tentera junta sejak rampasan kuasa pada Februari 2021. – Alhijrah Online

Leave a Reply