JURULATIH SELAM WARGA NORWAY HILANG DITEMUKAN SELAMAT, TIGA MASIH HILANG

Warga Norway yang juga jurulatih selam Kristen Grodem, 35, ditemui selamat dan tiba di Stadium Mersing –fotoBERNAMA

MERSING: Jurulatih selam Kristine Grodem, seorang daripada empat penyelam warga asing yang hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, dekat sini, ditemukan selamat di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi hari ini, kira-kira 30 batu nautika dari lokasi kejadian.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata Grodem, 35, ditemukan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan selam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi ini.

“Setelah ditemukan, mangsa dipindahkan ke helikopter milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan kemudiannya dibawa ke Mersing untuk rawatan lanjut.

“Usaha untuk mencari baki tiga lagi mangsa iaitu Alexia Alexandra (18 tahun, warga Perancis); Adrian Peter (46 tahun, warga British) dan anaknya, Nathen Renze (14 tahun, warga Belanda) diteruskan dengan aset-aset kita,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat di Jeti Awam Pejabat Daerah Mersing, di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata pencarian di laut meliputi kawasan seluas 107 batu nautika manakala pencarian menerusi aset udara meliputi 270 batu nautika, dengan tumpuan ke arah selatan lokasi kejadian.

“Mangsa hanyut ke selatan dan ditemui di sekitar perairan Tanjung Sedili. Dia dalam keadaan stabil dan tiada kecederaan serius.

“Mangsa kini berada di Hospital Mersing untuk pemeriksaan kesihatan,” kata Nurul Hizam.

Beliau juga berkata pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia dan pihak berkuasa Singapura turut dimaklumkan mengenai empat penyelam yang dipercayai hanyut ke arah selatan pulau berkenaan.

Selain itu, Jabatan Laut juga telah mengeluarkan notis pemakluman kepada kapal-kapal yang berlayar sekitar lokasi terbabit untuk membantu sekiranya terjumpa mangsa.

Terdahulu, Grodem tiba di Stadium Mini Mersing menaiki helikopter pada 12.05 tengah hari tadi.

Wanita itu yang keluar dari helikopter tanpa bantuan pengusung kemudiannya dibawa ke ambulans sebelum dibawa ke Hospital Mersing.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing.

Pada kejadian tengah hari semalam, empat penyelam warga asing hilang ketika menyelam di perairan pulau berkenaan, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, di sini. –AlHijrah Online

Leave a Reply