KAD SIM, DATA INTERNET PERCUMA DIBERI KEPADA INDIVIDU DIKUARANTIN

KUALA LUMPUR: Individu baru pulang dari luar negara yang dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin akan diberikan kad sim prabayar Celcom dengan data internet percuma.

Semalam, seramai 1,188 rakyat Malaysia dikuaratinkan di seluruh negara dengan 711 darinya dikuarantin sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata syarikat telekomunikasi itu bersetuju berbuat demikian bagi membolehkan individu terbabit berhubung dengan keluarga sepanjang tempoh kuarantin.

“Pihak Celcom telah bersetuju menyediakan khidmat komunikasi internet melalui edaran kad sim prabayar kepada mereka yang dikuarantin secara percuma.

“Kemudahan 1G data untuk internet, whatsapp call dan skype serta 10G data untuk Facebook dan Instagram dapat memberikan kemudahan untuk mereka yang dikuarantin berhubung dengan keluarga mereka sepanjang tempoh kurantin 14 hari,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disiarkan stesen televisyen tempatan, di sini hari ini.

Sejak 19 Mac lalu sejajar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 4,933 individu dikuarantin di 90 pusat kuarantin di seluruh negara.

Kerajaan menguatkuasakan kuarantin mandatori 14 hari kepada mana-mana individu pulang atau masuk ke negara ini berkuatkuasa semalam bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Pada sidang media sama, Ismail Sabri memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat 731 sekatan jalan raya membabitkan pemeriksaan ke atas 426,764 kenderaan.

Katanya, pihak berkuasa turut menjalankan 26,202 pemeriksaan mengejut membabitkan 4,171 premis di seluruh negara.

Semalam, 413 individu ditahan kerana yang melakukan kesalahan tidak mematuhi PKP iaitu penurunan 21.18  peratus berbanding 524 individu ditahan sehari sebelumnya, kata menteri kanan kluster keselamatan itu.

Sehingga hari ini, seramai 380 individu direman dengan 33 dijamin dan 362 individu dituduh di mahkamah. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply