Kakak terkorban selamatkan adik

Bidikan jurugambar Sy24 yang merakam detik-detik cemas dua beradik yang terperangkap dalam runtuhan di Ariha, Idlib ini menjadi tular di media.

IDLIB, SYRIA – Seorang kanak-kanak berusia lima tahun terkorban sewaktu dalam cubaan menyelamatkan adiknya berusia tujuh bulan daripada terjatuh dari runtuhan rumah didiami mereka di Idlib, Rabu lalu.

Kejadian berlaku di kawasan Ariha sejurus selepas serangan udara yang dilancarkan rejim Bashar al-Assad.

Dalam rakaman video dan gambar yang tular di media sosial, Riham kelihatan menggenggam baju adiknya Tuqa yang tergantung di runtuhan rumah mereka.

Malangnya kedua-dua kanak-kanak itu terjatuh apabila rumah mereka di tingkat dua akhirnya runtuh dan mengakibatkan Riham terbunuh.

Selain Riham dan Tuqa, seorang lagi kakak mereka, Rawan turut berada di bawah runtuhan itu tetapi dilaporkan terselamat dan berada dalam keadaan kritikal.

Bapa kanak-kanak itu, Amjad Abdullah yang turut berada di tempat kejadian cuba menyelamatkan kedua-dua anaknya apabila bangunan rumah mereka runtuh dan menghempap Riham dan adiknya. Tuqa kini dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi di Hospital Idlib.

Selain Riham, ibunya turut terkorban dalam serangan berkenaan.

Sepanjang minggu yang lalu, 100 orang awam terkorban akibat serangan tidak berperikemanusiaan tentera rejim Bashar.

Leave a Reply