KALIMAH ALLAH: MAIS FAILKAN PERMOHONAN SEBAGAI PENCELAH

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk dijadikan sebagai pihak pencelah (intervener) dalam kes rayuan penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan agama Kristian.
Pengerusi MAIS Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tindakan itu demi menjaga kesucian kalimah Allah yang berkait rapat dengan akidah orang lslam.
“MAIS menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan lslam dalam penerbitan agama Kristian kerana ia boleh membuka ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan atau mengembangkan agama bukan lslam kepada orang lslam khususnya di Negeri Selangor
“MAIS menyokong penuh tindakan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak Kerajaan Malaysia untuk merayu keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya MAIS berpegang teguh dengan pendirian bahawa kalimah Allah merupakan suatu kalimah suci yang merujuk hanya kepada Allah iaitu Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas keimanan orang lslam.
Justeru, kalimah tersebut tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama lain selain daripada agama lslam.
“Adalah menjadi tanggungjawab MAIS sebagai pihak berkuasa utama berhubung dengan pentadbiran agama lslam di dalam Negeri Selangor, selepas Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, untuk memelihara dan menjaga kesucian agama lslam termasuklah menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana orang jika kalimah tersebut jelas menyalahi maksud Allah yang menjadi teras akidah dan kepercayaan orang lslam,” katanya.
MAIS menegaskan bahawa di bawah seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan lslam (Pengawalan Pengembangan Di Kalangan Orang lslam, 1988), mana-mana orang bukan lslam yang menggunakan kalimah Allah untuk menyatakan idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai sesuatu agama bukan lslam di dalam Negeri Selangor adalah merupakan suatu kesalahan.
Malah, fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 juga memperuntukkan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan lslam yang lain dan wajib bagi orang lslam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah Allah tersebut.
MAIS turut menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertarikh 23 Mac 2021 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan penulisan bagi agama Kristian di dalam Negeri Selangor. – AlHijrah Online