KEDAI BUKU MUNGKIN DIBUKA DALAM FASA KEDUA

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin akan membuka semula operasi perniagaan kedai buku dan alat tulis dalam fasa kedua sekatan pergerakan penuh.

Pun begitu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat hari ini selepas timbul aduan kesulitan untuk mendapatkan buku dan alat tulis bagi tujuan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Setakat ini dalam fasa satu, masih tutup lagi kedai buku, kedai komputer dan sebagainya namun mungkin sedikit kelonggaran diberikan pada fasa dua.

“Namun pada fasa kedua nantipun, bukanlah bebas buka sebaliknya hanya kedai tertentu seperti kedai buku, alat tulis dan pembelajaran, …kita akan mempertimbangkannya,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Sebelum ini kerajaan telah mengumumkan hanya perniagaan dalam kategori produk perkhidmatan perlu sahaja yang dibenarkan operasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pasar raya yang dibenarkan untuk beroperasi dilapor perlu untuk menutup seksyen jualan barang yang bukan keperluan asas termasuk seksyen buku dan alat tulis.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid sebelum ini berkata pihaknya melihat kewajaran untuk seksyen jualan alat tulis di pasar raya dan premis seumpamanya dibuka.

Rosol berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung isu itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply