KELUARGA AJAK SOLAT JEMAAH SEBELUM TINGGALKAN WARGA EMAS DI SURAU

SUBANG: Seorang lelaki warga emas tidak menyangka pujukan ahli keluarganya mengajak beliau ke sebuah surau di Subang untuk berjemaah, rupanya adalah perancangan untuk meninggalkannya di situ.

Kisah tersebut dikongsikan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi laman Facebook rasminya semalam.

Menurut LZS, lelaki tersebut tidak mempunyai zuriat kerana belum berkahwin dan beliau dijaga oleh anak saudaranya.

“Namun sejak kesihatannya yang semakin merosot, ditambah pula dengan suasana yang tidak menentu kerana PKP, ahli keluarga yang menjaganya telah meninggalkan beliau di salah sebuah surau.

“Pakaian juga telah siap diletakkan di dalam beg untuk bekalan beliau,” jelas kenyataan LZS.

Menurut LZS, sejurus mendapat maklumat berhubung warga emas itu, badan pengurusan zakat tersebut bergegas untuk membantu beliau memandangkan Selangor adalah negeri tertinggi kes COVID-19.

Mangsa turut mengadu sakit kaki dipercayai akibat jangkitan kuman selain perutnya lapar dan berada dalam keletihan.

“Alhamdulillah, setelah berunding, beliau bersetuju ditempatkan di sebuah rumah kebajikan Rufaidah Home Care Services di Dengkil. Zakat Selangor akan menanggung kos penjagaan dan juga kos rawatan beliau,” ujar LZS.

LZS turut mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat dan menegaskan akan berusaha sedaya upaya untuk menyalurkan dana zakat kepada mereka yang berhak. — AlHijrah Online

Leave a Reply