KPDNHEP SERBU KILANG BUNGKUS SEMULA MINYAK MASAK BERSUBSIDI

BUKIT MINYAK: Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang menumpaskan kegiatan membungkus semula minyak masak bersubsidi di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, di sini.

Menurut Pengarah KPDNHEP, negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghappar, serbuan pada jam 2 petang Sabtu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sejak dua bulan lepas.

Dalam serbuan yang dilakukan, sebanyak 7771 plastik minyak masak bersubsidi, dan 617 botol minyak masak bernilai RM27 ribu dirampas manakala pemilik dan pekerja ditahan untuk disoal siasat.

Siasatan mendapati kilang itu beroperasi sejak tiga tahun lepas dan membungkus semula minyak masak bersubsidi sebelum diedarkan ke kedai-kedai di sekitar kawasan itu.

Kesalahan lain turut dikesan apabila premis itu membungkus bahan rempah ratus menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

“Kita dapati mereka memindahkan minyak masak bersubsidi yang dibeli dengan harga RM2.50 ke dalam bekas minyak masak jenama syarikat ini.

“Mereka memasukkan dan memproses minyak tersebut ke dalam botol berisipadu 2 kilogram (kg) dan 5 kg yang mana harga (minyak dalam botol) kita tidak dapat kawal harganya,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Ridzuan berkata, pihak syarikat berkenaan melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab apabila mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan sekali ganda dalam melakukan penyelewengan itu.

“Saya ingin mengingatkan syarikat pemborong bersubsidi supaya tidak melakukan penyelewengan ke atas barangan yang bersubsidi kerana subsidi ditanggung kerajaan khusus untuk golongan bersasar,” ujarnya lagi.

Mohd Ridzuan berkata, tindakan diambil dibawah Seksyen 21, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, sabit kesalahan pemilik kilang itu membungkus minyak masak terbabit boleh dikenakan denda atau penjara.

Manakala bagi kesalahan menggunakan logo halal tanpa kebenaran, pemilik premis disiasat dibawah Perkara 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan penandaan Halal) 2011.—AlHijrah Online

Leave a Reply