Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KEPUTUSAN ICJ MENGENAI LANGKAH KECEMASAN DI GAZA JUMAAT INI

DUNIA

KEPUTUSAN ICJ MENGENAI LANGKAH KECEMASAN DI GAZA JUMAAT INI

ICJ mungkin tidak akan memutuskan persoalan utama sama ada Israel melakukan genosid, sebaliknya akan membuat keputusan berkenaan langkah kecemasan seperti diminta Afrika Selatan untuk menghalang operasi ketenteraan Israel.

Gambar fail (AFP)

THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan membuat keputusan Jumaat ini, sama ada ia akan memberikan langkah kecemasan untuk menghentikan perang di Gaza.

Ia selepas Afrika Selatan memfailkan tuduhan bahawa operasi ketenteraan Israel di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai.

ICJ memaklumkan panel 17 hakim akan menetapkan keputusannya di mahkamah pada 26 Januari jam 12 tengah hari waktu tempatan.

Memetik laporan Al Jazeera, pada Jumaat ini, ICJ mungkin tidak akan memutuskan persoalan utama sama ada Israel melakukan genosid, sebaliknya akan membuat keputusan berkenaan langkah kecemasan seperti diminta Afrika Selatan untuk menghalang operasi ketenteraan Israel.

ICJ difahamkan tidak terikat untuk memerintahkan tindakan seperti yang diminta Afrika Selatan tetapi boleh mengambil langkah-langkah sementara yang dianggap paling sesuai.

Keputusan segera Jumaat ini bertujuan menghalang kesan yang lebih buruk ketika mahkamah meneliti keseluruhan kes, yang mungkin mengambil masa beberapa tahun.

Keputusan mahkamah adalah mengikat secara sah dan tanpa rayuan, tetapi mahkamah tidak mempunyai cara untuk menguatkuasakannya.

Afrika Selatan telah mengheret Israel ke mahkamah, mendakwa ia melanggar Konvensyen Genosid PBB, yang ditandatangani pada 1948 sebagai respons dunia terhadap Holokaus.

Bagaimanapun Israel menolak dakwaan genosid dan berkata bahawa mereka mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan menyasarkan Hamas bukan orang awam.

Afrika Selatan memfailkan sembilan injunksi kepada mahkamah antaranya ialah permintaan untuk perintah yang akan mengarahkan Israel untuk menangguhkan semua operasi ketenteraan di Gaza.

Selain itu, Afrika Selatan turut meminta mahkamah mengarahkan Israel untuk memudahkan dan tidak menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading