KERAJAAN JAMIN KUALITI MINYAK MASAK POLIBEG 1KG SAMA DENGAN BOTOL

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak bersubsidi yang dipek dalam bungkusan polibeg 1 kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik iaitu RM2.50 berkualiti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Dr Alexander Nanta Linggi minyak masak yang dijual di dalam polibeg 1kg mempunyai kualiti sama seperti yang dipek di dalam botol.

“Kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol malahan ada di antaranya dikeluarkan dari kilang yang sama.

“Rakyat boleh membuat pilihan sama ada hendak membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg 1kg atau yang tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau ketika ini subsidi kerajaan hanya diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1kg sahaja manakala minyak masak yang dijual dalam botol plastik bersaiz 2kg, 3kg, 5kg dan dalam tin 17kg adalah tidak bersubsidi.

Jelasnya harga jualan minyak masak dalam bungkusan tersebut ditentukan oleh harga minyak masak mentah (CPO) di pasaran dunia.

“Pada masa ini harga CPO di pasaran dunia sudah mencecah lebih RM4500 tan metrik (berbanding sebelum ini hanya sekitar RM2500 tan metrik sahaja), bersamaan lebih kurang RM4.50 per kg sebelum diproses dan dibotolkan.

“Ini bermakna kos minyak sawit mentah sahaja sebelum dibotolkan sudah melebihi RM22 untuk 5kg. Itu tidak termasuk kos-kos lain seperti pemprosesan, pembotolan, pengangkutan dan keuntungan di semua peringkat kilang, pemborong, pengedar dan peruncit,” katanya.

Dalam pada itu katanya KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsi di pasaran bagi mengurangkan beban pengguna dan kerajaan akan memaklumkan hasil dari perbincangan dan mekanisme yang dipersetujui.

Tegasnya KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran setiap hari.

Pihak Penguat Kuasa tidak akan teragak-agak untk mengambil tindakan di bawah AKHAP 2011 jika terbukti peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak.

Kementerian juga sentiasa proaktif dalam memastikan tiada ketirisan dalam bekalan minyak masak bersubsidi dan KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah. — AlHijrah Online

Leave a Reply