KERAJAAN WASPADA WALAUPUN MUTASI BAHARU COVID-19 BELUM DITEMUI DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan, mutasi baharu COVID-19 yang dikenali sebagai VUI-202012/01 yang menular di United Kingdom (UK) belum ditemui di Malaysia.

Katanya, KKM mengambil maklum tentang kemunculan varian baharu tersebut yang kini mengancam United Kingdom.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Noor Hisham berkata, kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM), akan terus berwaspada dengan pelbagai langkah yang dilaksanakan untuk mencegah berlakunya limpahan varian baharu ke Malaysia.

Katanya, varian baharu tersebut didapati menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus kadar penghantaran dan peningkatan kes tiga kali ganda dalam tempoh pemberitahuan 14 hari.

Varian baharu berkenaan juga mempunyai mutasi baharu dalam protein lonjakan, termasuk perubahan asid amino dan penghapusan tiga asid amino.

“Pada masa ini, varian ini masih tidak dijumpai di Malaysia. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) akan terus melakukan penjujukan keseluruhan genom untuk memantau kehadiran varian ini dan juga varian lain.”

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan

UK baru-baru ini mengesahkan mereka mengesan satu lagi varian baharu COVID-19 yang berpotensi lebih berjangkit menerusi kes yang ada kaitan dengan virus bermutasi di Afrika Selatan selepas negara itu mengumumkan penemuan jenis B117 yang menular dengan cepat pada minggu lalu.

Media juga melaporkan, Singapura mengenal pasti satu kes yang disahkan dengan strain virus UK membabitkan seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang menuntut di UK. – AlHijrah Online

Leave a Reply