Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

MONOREL RAPID KL TERBAKAR

DALAM NEGARA

MONOREL RAPID KL TERBAKAR

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan monorel Rapid KL di stesen Maharajalela tergendala selepas dua buah gerabak monorel terbakar, pagi tadi.

Menurut kenyataan media Prasarana, insiden berlaku apabila satu daripada 64 tayar yang digunakan oleh satu tren empat gerabak telah meletup dan kemudiannya terbakar dipercayai kerana tekanan angin tayar yang rendah.

Sepasukan 21 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.27 pagi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohamad Iqbal Zakaria berkata kebakaran itu membabitkan bahagian hadapan monorel dan satu gerabak penumpang yang bergerak dari stesen Maharajalela ke stesen KL Sentral.

“Semua penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari gerabak dibantu petugas stesen monorel sebelum bomba sampai.

“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 8.56 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Insiden itu menyebabkan semua perkhidmatan monorel antara stesen KL Sentral dan stesen Maharajalela dihentikan sementara.

Tren berkenaan ditunda keluar daripada stesen Maharajalela pada jam 10.59 pagi ke Depoh untuk siasatan lanjut dan para penumpang yang terjejas telah ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter Monorel KL.

Susulan kejadian tersebut, Rapid KL menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma kepada penumpang antara kedua-dua lokasi tersebut.

Bagaimanapun perkhidmatan monorel di stesen terlibat dilaporkan telah kembali seperti biasa kira-kira jam 12 tengah hari tadi. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading