KERETA DIPANDU LELAKI OKU TERBABAS DALAM PARIT

KAPAR: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal terselamat dari kecederaan selepas kenderaan dipandunya terbabas masuk ke dalam parit, di Jalan Kereta Api Lama, Batu 11 1/2, di sini petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 3.27 petang sebelum mengerahkan anggotanya ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi kejadian, ketua operasi membuat ‘size up’ dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Inova terbabas masuk ke dalam parit berkedalaman satu meter setengah.
“Mangsa terlibat merupakan lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an yang merupakan pemegang kad OKU fizikal tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, orang awam yang berada di lokasi kejadian sempat mengeluarkan mangsa sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
“Tindakan anggota membuat pemeriksaan dan pemantauan di sekitar lokasi bagi memastikan tidak ada lagi bahaya yang wujud sebelum menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.—AlHijrah Online