KES COVID-19 MENINGKAT TIGA PERATUS KETIKA MUSIM PERAYAAN

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jumlah kes COVID-19 meningkat 3 peratus pada musim perayaan dengan 4,963 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-17 (ME 17/2023) iaitu dari 23 April hingga 29 April 2023.

Pada Minggu Epidemiologi ke-16 (ME 16/2023) lalu, angka kes yang dilaporkan ialah 4,817 kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, data dari Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) juga menunjukkan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 (termasuk pesakit disyaki COVID-19) ke fasiliti kesihatan awam meningkat dari 4.8 kepada 5.8 bagi setiap 100,000 populasi pada ME 17/2023 berbanding ME 16/2023.

Jelasnya keadaan jangkitan COVID-19 di Malaysia masih terkawal dan perkhidmatan kesihatan serta kapasiti di hospital tidak terjejas.

“Majoriti pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti individu dengan komorbid dan warga emas, namun peningkatan itu tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperi biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Radzi berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan kemungkinan sedikit peningkatan kes COVID-19 akan berlaku susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara dan sahabat handai ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Wesak.

Oleh itu orang ramai digalakkan memakai pelitup muka sekiranya bergejala ketika aktiviti kunjung mengunjung bagi melindungi keluarga, jiran dan sahabat handai daripada mendapat jangkitan.-– AlHijrah Online

Leave a Reply