KHUTBAH WADA’: PENAWAR PERMASALAHAN UMMAH


Bulan Zulhijah telah pun berada di penghujungnya. Kini bulan Muharam yang menjadi permulaan tahun baharu bagi umat Islam pula menjelang tiba.
Para jemaah haji yang terpilih menjadi tetamu Allah di tanah suci Mekah mulai beransur pulang ke tanah air. Semoga dianugerahkan ibadah haji yang mabrur serta menjadi detik perubahan ke arah kebaikan dalam kehidupan.
Dalam hal tersebut, Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud “Barangsiapa berhaji ke Baitullah tanpa berkata keji, tanpa bersetubuh, dan tanpa berbuat kefasikan (selama ihram), maka dia pulang (tanpa dosa) bagaikan bayi yang baru lahir.” (Riwayat al-Bukhari).
Antara peristiwa penting dalam bulan Zulhijah yang perlu diambil pengiktibaran oleh umat Islam ialah khutbah terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam yang dikenali sebagai Khutbatul Wada’ (Khutbah Perpisahan).
Khutbah tersebut sarat dengan pesanan dan peringatan kepada umat Islam yang seharusnya dijadikan panduan dan pedoman dalam segenap aspek kehidupan.
Penghayatan terhadap isi kandungan yang disampaikan dalam khutbah tersebut menjadi penawar yang paling mujarab bagi menghadapi pelbagai isu yang melanda umat Islam masa kini seperti jenayah pembunuhan, kebejatan akhlak dan penghinaan agama.
Peringatan yang disampaikan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW perlu dijadikan asas untuk kita bermuhasabah bagi memperbaiki kepincangan ummah.
Salah satu peringatan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam Khutbatul Wada’ adalah larangan membunuh jiwa dan mengambil harta orang lain tanpa alasan yang dibenarkan.
Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya darah dan harta kamu, semua itu adalah haram ke atas kamu sebagaimana kesucian hari kamu ini (hari Arafah) pada bulan ini (Zulhijjah) dan di negeri yang suci ini (Arafah)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Justeru peristiwa seperti pembunuhan yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga, kemalangan jalan raya yang berlaku akibat kecuaian, lumba haram dan pelbagai lagi perbuatan yang mengancam keselamatan nyawa sendiri dan orang lain adalah suatu perbuatan yang amat dikeji.
Budaya berbunuhan juga merupakan tradisi dan amalan masyarakat jahiliyah terdahulu yang mesti ditinggalkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 33 yang bermaksud “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).”
Imam al-Syatibi menjelaskan bahawa semua ajaran yang ditetapkan dalam syariat Islam adalah untuk memelihara kemaslahatan lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Justeru Rasulullah SAW juga telah mengingatkan dalam Khutbatul Wada’ tentang kewajipan menjaga agama serta sentiasa berwaspada dengan gangguan syaitan yang menyesatkan dalam kehidupan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 168-169 bermaksud “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).”
Perbuatan menghina agama yang dilakukan oleh segelintir individu adalah disebabkan kejahilan atau keterlanjuran mereka menurut hasutan Syaitan yang menyesatkan. Oleh itu, mereka tidak lagi bertindak berpandukan kewarasan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW mengingatkan agar umat Islam berpegang teguh kepada dua sumber utama yang menjamin kehidupan manusia agar tidak sesat di dunia dan akhirat iaitu al-Quran dan sunnah. Perkara tersebut selaras dengan wahyu yang diturunkan pada hari Arafah iaitu surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”
Sesungguhnya benteng kepada segala amalan kesesatan adalah keteguhan iman dan kecintaan yang tidak berbelah bagi terhadap akidah Islam. Rasululullah SAW memberikan peringatan dalam sebuah hadis yang bermaksud “Aku wasiatkan kepada kalian untuk bertakwa kepada Allah, senantiasa taat dan dengar meskipun yang memerintah adalah seorang budak Habsyi yang hitam. Sesungguhnya orang-orang yang hidup setelahku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khalifah yang lurus dan mendapat petunjuk, berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan gigi geraham. Jauhilah oleh kalian perkara-perkara baru (dalam urusan agama), kerana setiap perkara yang baru adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud).
Pada akhir zaman ini, golongan yang berpegang kepada sunnah baginda akan diremehkan, dianggap ketinggalan, tidak mengikuti perkembangan semasa dan terasing. Kerana itulah Rasulullah SAW menggunakan kiasan gigitlah dengan gigi geraham bagi menandakan bahawa pegangan yang kukuh terhadap sunnah dan akidah Islam diperlukan dalam situasi yang mencabar agar maruah agama tidak mudah digadaikan.
Marilah kita semua berusaha membanteras segala perbuatan yang mungkar dan menyeru masyarakat kepada kebaikan agar kemaslahatan sejagat terpelihara sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
Bagi menyahut seruan tersebut, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab menjaga kemaslahatan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan beriltizam untuk terus mempergiatkan program dakwah di pelbagai medium bagi menyampaikan kesedaran tentang ajaran Islam kepada segenap lapisan masyarakat.
Selain itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus dilaksanakan terhadap sebarang perbuatan dan tindakan yang mencemarkan kesucian syariat Islam. — AlHijrah Online
Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).