KPDNHEP WUJUDKAN LAMAN MIKRO BARANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewujudkan laman mikro yang dinamakan ‘Spacedeals’ khusus untuk mempromosi produk tempatan.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan KPDNHEP, Redzuan Jaris berkata, para pembeli yang berminat untuk menyokong atau mengetahui lebih lanjut berkenaan produk buatan Malaysia digalakkan untuk ke laman mikro tersebut di spacedeals.infopengguna.com.

“Di laman sesawang itu ada senarai produk-produk buatan tempatan yang telah berdaftar dengan KPDNHEP

“Jadi mudah untuk pengguna melihat produk-produk tempatan yang ada,” katanya kepada AlHijrah Online.

Jelasnya selain menguar-uarkan barangan tempatan di laman web kendalian KPDNHEP itu, pihaknya turut melakukan promosi barangan Malaysia di laman sesawang jualan yang lain antaranya di Shopee.

Menurut Redzuan, penggunaan platform dalam talian memberi impak positif terhadap jualan produk tempatan dengan peningkatan sebanyak 485.31 peratus pada suku ketiga tahun ini meskipun berdepan cabaran COVID-19.

Tambahnya pembelian barangan Malaysia di pasar raya, kedai serbaneka dan kedai jualan di stesen minyak juga menunjukkan kenaikan peratusan yang ketara.

Ujar Redzuan, sokongan terhadap kempen beli barangan Malaysia itu dapat membantu meningkatkan permintaan domestik sekaligus membantu aktiviti peruncitan yang terjejas susulan penularan COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply