KRISIS PALESTIN-ISRAEL: JAWATANKUASA EKSEKUTIF MENTERI LUAR OIC ADAKAN MESYUARAT TERGEMPAR

PUTRAJAYA: Malaysia yang diwakili Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menyertai mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) esok bagi membincangkan solusi terhadap konflik Palestin-Israel.

Hishammuddin akan menyampaikan pendirian rakyat Malaysia untuk bersama dengan Palestin agar OIC dapat bertindak lebih tegas demi melindungi saudara sesama Islam di bumi Palestin.

“Saya akan mengambil kesempatan menerusi pertemuan esok bagi menyampaikan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi Malaysia mengenai perkara ini kepada OIC.

“Saya juga akan menyuarakan gesaan Malaysia agar OIC mengambil tindakan lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel,” katanya.

Hishammuddin mengulas, beliau mencapai kata sepakat mengenai Palestin setelah berkomunikasi dengan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Brunei.

Menurutnya, ketiga-tiga buah negara Islam itu secara kolektif mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Israel terhadap rakyat Palestin dan mahu rejim Yahudi itu menghentikan serta merta tindakan pencerobohan di seluruh wilayah Palestin.–AlHijrah Online

Leave a Reply