LAPAN RANCANGAN ISTIMEWA TV ALHIJRAH SEMPENA MAULIDUR RASUL

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad ketika melancarkan Kempen Maulidur Rasul dan wajah baharu studio TV AlHijrah.

KUALA LUMPUR: TV AlHijrah terus meraikan hari kebesaran Islam menerusi kempen Maulidur Rasul yang bermula 7 Oktober hingga 29 Oktober 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata secara keseluruhan lapan seleksi rancangan istimewa akan dihidangkan kepada penonton bermula 7 Oktober 2021 sehingga 29 Oktober 2021 sempena Maulidur Rasul.

“Dokumentari Mosques Around The World yang memulakan siaran pada 4 Oktober, Isnin hingga Rabu jam 4 petang harus ditonton kerana ia adalah perkongsian maklumat tentang kepelbagaian masjid-masjid seluruh negara serta kajian tentang unsur budaya masjid sesebuah negara.

“Penonton juga tidak harus ketinggalan menonton Cinta Ilmu Istimewa Maulidur Rasul pada 18 hingga 20 Oktober, jam 7.30 malam yang akan membincangkan topik keunggulan Baginda SAW, Perjuangan Rasulullah dan Kelebihan Umat Akhir Zaman,” katanya.

Tambahnya TV AlHijrah juga akan menyiarkan Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober, Selasa jam 9 malam simbolik curahan kasih dan kerinduan terhadap Baginda Nabi.

Rancangan itu mengabungkan elemen bacaan Al-Quran, persembahan qhasidah, selawat buat Baginda serta monolog, sajak dan tausiyah.

Antara personaliti tanah air yang akan ditampilkan dalam rancangan tersebut adalah kumpulan Raihan, Kumpulan Zayne, Daqmi, Naqiu, Ustaz Wadi Annuar, Ustaz Jafri Abu Bakar dan ramai lagi.

“Rancangan istimewa lain adalah Sambutan Maulidur Rasul pada 18 Oktober jam 9 malam, Siaran Langsung Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia pada 20 Oktober jam 4.30 petang, Di Ambang Konsert Muhammad Kekasih Agung pada 19 Oktober jam 6 petang, Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan pada 26 Oktober jam 9 malam dan Gema Haflah pada 30 Oktober jam 9 malam,” kata Namanzee.

Beliau berharap kesemua seleksi rancangan yang diterbitkan TV AlHijrah itu akan memberi manfaat kepada para penonton khususnya dalam menanam rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW. – AlHijrah Online

Leave a Reply