LEBIH SETAHUN DIBURU, NICKY LIOW AKHIRNYA SERAH DIRI

Nicky Liow Soon Hee

KUALA LUMPUR: Lebih setahun menjadi buruan polis, ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee, yang disyaki mendalangi sebuah kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai “Geng Nicky”, akhirnya tampil menyerah diri pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain yang mengesahkan perkara berkenaan berkata Liow, 34, ditahan selepas menyerah diri secara sukarela di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini, kira-kira 11 pagi.

“Dia  akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam esok bagi menghadapi 26 pertuduhan.

“Pada 23 Mac lepas, Mahkamah Shah Alam telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Nicky Liow untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAFTA),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 9 April tahun lepas, Liow dan adiknya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor kerana didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, pendakwaan terhadap Liow dibuat tanpa kehadirannya kerana dipercayai telah melarikan diri. 

Liow yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group berada dalam buruan berhubung sindiket Macau Scam selepas 68 ahlinya ditahan dalam Ops Pelican 3.0 Mac tahun lepas. 

Pada 26 April tahun lepas, Istana Pahang membatalkan dan menarik semula Darjah Kebesaran Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Liow. – AlHijrah Online

Leave a Reply