LELAKI PANDU LAWAN ARUS UNTUK SAMBUT DEEPAVALI DIREMAN

TAPAH: Lelaki yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan tiga buah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan kelmarin direman tiga hari untuk membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan di Mahkamah Majistret Tapah hari ini.

Semalam, pemandu kereta Perodua Axia berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya di Bidor, kira-kira jam 11 pagi.

Sebelum itu tular, suspek yang dikatakan ingin mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungkai memandu melawan arus sehingga mengakibatkan kemalangan di KM355.4 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara dekat Bidor.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila T. Yugeswaran yang memandu dari Klang, Selangor ke Bidor untuk menyambut Deepavali melawan arus sejauh 1.4 kilometer dari KM354 di susur keluar Sungkai arah utara.

Sebuah Toyota Rush yang dipandu seorang lelaki di lorong kanan arah utara tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta dipandu suspek dan berpusing beberapa kali.

Sebuah lori treler yang membawa muatan sarung tangan juga tidak sempat mengelak lalu melanggar Perodua Axia itu.

Bagaimanapun, ketiga-tiga pemandu tidak mengalami kecederaan. – AlHijrah Online

Leave a Reply