LEMPAR MERCUN PADA POLIS, EMPAT INDIVIDU TERMASUK DUA REMAJA DITAHAN

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat individu termasuk dua remaja selepas dipercayai terlibat dalam kejadian melempar mercun kepada polis yang bertugas, di sebuah pangsapuri di Sentul, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, individu yang ditahan berumur 44, 13 dan 12 tahun itu didapati membakar mercun jenis bola lalu membalingnya dari tingkat 11 pangsapuri berkenaan.

“Semasa pemeriksaan dilakukan di pangsapuri terbabit, sebanyak 48 mercun jenis bola dirampas daripada beg silang yang dipakai oleh salah seorang tangkapan berusia 13 tahun.

“Susulan tangkapan itu, pada 11 malam, polis menyerbu sebuah premis di Blok 39 dalam pangsapuri yang sama dan menahan seorang lelaki berusia 58 tahun kerana didapati menjual mercun tanpa lesen yang sah serta merampas 130 mercun bola serta pelbagai jenis bunga api,” katanya.

Eng Lai mengulas, lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 kerana memiliki atau menjual mercun yang dilarang.

ARTIKEL BERKAITANORANG AWAM LEMPAR MERCUN PADA POLIS

Bagaimanapun, kesemua tangkapan juga disiasat bersabit kes melempar mercun pada anggota polis di kawasan berkenaan.

“Setakat ini, polis tidak menemui keterangan untuk mengaitkan pembabitan mereka dalam kes berkenaan, semua individu yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Bagi tangkapan tiga individu yang melempar mercun terhadap polis akan disiasat di bawah Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan membakar mercun yang dilarang.–AlHijrah Online

Leave a Reply