Connect with us

ALHIJRAH NEWS

LIMA PEMBUNUH KEKAL DIPENJARA 36 TAHUN

JENAYAH

LIMA PEMBUNUH KEKAL DIPENJARA 36 TAHUN

Mereka didapati bersalah membunuh Mohd Shahrulanuar Dek Der, 22, di kawasan paya di tanah lapang Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut antara 4.40 petang hingga 8.30 malam pada 21 Jun 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan terhadap lima lelaki, termasuk dua pasangan adik-beradik, selepas menolak rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman bagi kes membunuh seorang lelaki dengan menetak mangsa menggunakan pedang.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Azman Abdullah, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 9 Mei 2024.

Lima perayu terbabit ialah Aizz Amidie Aziz, 32; pasangan adik-beradik Mohd Rizalman Awang, 36, dan Zahaman Fairol, 39; serta Mohd Uwais Mat Nawi, 31, dan adiknya Mohd Hafify, 30.

Mereka didapati bersalah membunuh Mohd Shahrulanuar Dek Der, 22, di kawasan paya di tanah lapang Kampung Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut antara 4.40 petang hingga 8.30 malam pada 21 Jun 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman berkata rayuan yang dikemukakan kesemua perayu tidak mempunyai merit kerana keterangan saksi pendakwaan, termasuk saksi terlindung, secara konsisten menunjukkan mereka terlibat dalam serangan yang menyebabkan kematian mangsa.

Beliau berkata saksi terlindung pertama yang menyaksikan kejadian itu ketika bersembunyi di dalam semak telah memberikan keterangan terperinci mengenai insiden berkenaan.

“Keengganan saksi itu untuk menjawab beberapa soalan yang dikhuatiri mendedahkan identitinya sama sekali tidak menjejaskan kes pendakwaan. Hakim bicara juga berpuas hati bahawa keterangan saksi itu berhubung kejadian bunuh turut disokong oleh saksi-saksi pendakwaan lain.

“Ini jelas menunjukkan bahawa keterangan saksi-saksi pendakwaan itu adalah keterangan yang benar dan berjaya meyakinkan mahkamah ini akan episod serta insiden tragis yang berlaku,” katanya.

Menurut beliau, hakim perbicaraan turut meneliti keseluruhan pembelaan yang dikemukakan dan mendapati dakwaan bahawa individu lain yang menetak mangsa hanyalah satu pemikiran terkemudian (afterthought).

“Berdasarkan imbangan kebarangkalian, hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kesemua perayu telah gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. Justeru, tiada sebab untuk mahkamah ini mengganggu dapatan oleh hakim bicara,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan Aizz Amidie, Mohd Rizalman dan Zahaman Fairol menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan mereka pada 11 Julai 2017, manakala Mohd Uwais dan Mohd Hafify bermula 11 Ogos tahun yang sama.

Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon hukuman penjara dikurangkan kepada 30 tahun bermula dari tarikh tangkapan, namun Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim meminta hukuman asal dikekalkan sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan serupa.

Media sebelum ini melaporkan mangsa maut selepas ditetak sekumpulan lelaki susulan perselisihan faham berkaitan kejadian membakar motosikal milik anggota keluarga salah seorang daripada mereka. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in JENAYAH

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading