Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

LORI MENGUNDUR SEBABKAN KEMATIAN PENUNGGANG MOTOSIKAL, PEMANDU LORI DITAHAN

DALAM NEGARA

LORI MENGUNDUR SEBABKAN KEMATIAN PENUNGGANG MOTOSIKAL, PEMANDU LORI DITAHAN

Pemandu lori berusia 32 tahun itu ditahan pada sebelah petangnya di perkarangan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori yang mengundur secara tiba-tiba dan melanggar sebuah motosikal, mengakibatkan penunggangnya maut, di Jalan Kerinchi di sini pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata pemandu lori berusia 32 tahun itu ditahan pada sebelah petangnya di perkarangan Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa pemandu lori berkenaan memberhentikan lorinya dalam sebuah kawasan tapak pembinaan untuk mengisi minyak brek, apabila tiba-tiba lori itu bergerak secara mengundur dengan sendiri lalu melanggar pagar pintu keselamatan dan masuk ke jalan utama sebelum melanggar sebuah motosikal.

“Penunggang motosikal, lelaki tempatan berusia 32 tahun yang hilang kawalan semasa cuba mengelak lori terbabit, telah terjatuh lalu terperosok ke bawah tayar bahagian belakang sebelah kanan lori, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zamzuri berkata sebuah kereta yang melalui kawasan itu turut dilanggar lori berkenaan, yang menyebabkan pemandunya mengalami kecederaan pada bahagian dahi.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan sebuah lori bergerak mengundur dan melintang di tengah sebuah jalan sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal terjatuh ketika cuba mengelak lori itu.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading