
PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64, hari ini.
“Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak [diberikan pengampunan bersyarat] dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda Ringgit Malaysia Lima Puluh Juta sahaja (RM50,000,000.00),” menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.
Menurut kenyataan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan turut diwajibkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan sepanjang tempoh pengampunan tersebut.
“Sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan itu. — AlHijrah Online