MAIS SERU SEMUA PIHAK HORMATI BACAAN AL-FATIHAH

SHAH ALAM: Semua pihak termasuk orang Islam dan bukan Islam diseru untuk sentiasa menghormati bacaan surah Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran sama ada dalam majlis rasmi atau majlis tidak rasmi.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata perkara itu perlu lebih diberi penekanan yang penting apabila bacaan surah Al-Fatihah dan ayat-ayat suci Al-Quran dilaksanakan khusus kepada umat Islam yang telah meninggal dunia seperti kematian akibat daripada pandemik COVID-19, kemalangan dan sebagainya

“Di negara Malaysia, amalan dan budaya masyarakat yang saling hormat menghormati dan hak kebebasan untuk beragama serta mengiktiraf Islam sebagai agama negara perlu dijadikan sebagai agenda utama dalam memastikan talian persaudaraan terus utuh dalam kalangan rakyat yang berbilang agama dan bangsa.

“Situasi hormat menghormati ini seiring dengan Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menyeru semua pihak sentiasa menghormati agama Islam serta mengurangkan perkara yang melibatkan sensitiviti dan perpecahan rakyat berbilang kaum dan agama dalam negara ini.

Minggu lalu timbul isu apabila beberapa Ahli Parlimen didakwa tidak menghormati sesi bertafakur dan bacaan Al Fatihah oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mereka yang meninggal dunia kerana COVID-19 pada sidang khas Dewan Rakyat – AlHijrah Online

Leave a Reply