MALAYSIA BUKAN NEGARA GAGAL, TERIMA PELBAGAI PENGIKTIRAFAN NEGARA LUAR – HISHAMMUDDIN

Image
Sumber Gambar: Twitter @HishammuddinH2O

KUALA LUMPUR: Dakwaan segelintir pihak menyatakan Malaysia negara gagal dipatahkan selepas pelbagai pengiktirafan dan sokongan diterima dari banyak negara luar.

Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia turut menerima pelbagai sumbangan disalurkan sekutunya sebagai tanda penghargaan kepada negara.

“Jika benar kita negara gagal, saya tidak rasa kita akan diberi pengiktirafan dan penghargaan.

“Buktinya kita boleh lihat pelbagai sumbangan dari negara luar diberikan kepada Malaysia, terutama membabitkan sumbangan vaksin,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Perubatan COVID-19 daripada Arab Saudi di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini, hari ini.

Image
Sumber Gambar: Twitter @HishammuddinH2O
ARTIKEL BERKAITAN – BANTUAN PERUBATAN DARI ARAB SAUDI SELAMAT TIBA DI MALAYSIA

Turut hadir dalam majlis penyerahan itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan.

Sementara itu, Malaysia menerima 1 juta dos vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca dan sejumlah 4.5 juta peralatan perubatan pelbagai jenis yang bernilai RM21.14 juta daripada Arab Saudi.

Image
Sumber Gambar: Twitter @HishammuddinH2O

Bantuan peralatan perubatan itu antaranya pelitup muka, kelengkapan pelindung diri (PPE), bekalan oksigen, katil elektrik.

Jelas Hishammuddin, keprihatinan berterusan Raja Arab Saudi, Raja Salman terhadap Malaysia serta kesungguhan kerajaannya membuktikan tekad Arab Saudi untuk berjuang bersama Malaysia di era pandemik yang serba mencabar.

“Ini bukan kali pertama kerajaan Arab Saudi menghulurkan bantuan COVID-19 kepada Malaysia.

“Arab Saudi adalah antara negara terawal tampil menyalurkan sumbangan iaitu kira-kira lapan juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia pada Mei tahun lalu,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply