MARA TAMATKAN PENGAJIAN 10 PELAJAR MRSM YANG TERLIBAT KES BULI

KUALA LUMPUR: Seramai 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara, MRSM yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli yang tular baru-baru ini ditamatkan pengajian.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.

“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA, IPMA mahupun tajaan MARA,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Azhar, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

Keputusan penamatan pengajian itu katanya dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

“Keputusan ini kita harap ianya bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar yang lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.

“Kita di MARA tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat,” katanya.

Tegas Azhar, MARA komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah. – AlHijrah Online

Leave a Reply