‘MASIH TAK BERBEKAS KE HATI NURANI KITA?’

KUALA LUMPUR: Sehari selepas kerajaan mengumumkan ‘Lockdown’ penuh bermula 1 hingga 14 Jun 2021, kesesakan di beberapa lebuh raya utama negara pada Sabtu mengundang rasa kurang senang ramai termasuk Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kesesakan di lebuh raya yang dikaitkan dengan pergerakan merentas daerah dan negeri tidak disenangi lebih-lebih lagi kewujudan kluster-kluster hari raya yang dipercayai kesan tindakan tidak bertanggungjawab individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Kesesakan tersebut seolah-olah menunjukkan pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan rentas daerah dan negeri telah dikeluarkan kata Dr Noor Hisham.

“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha kita untuk membendung COVID-19,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasminya pada Sabtu.

Dalam ciapan yang turut dimuat naik dengan gambar kesesakan lalu lintas tersebut, Dr Noor Hisham merayu peranan semua pihak untuk selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh sekiranya peningkatan kes tidak terkawal.

“Sekiranya kami rebah, anda dan keluarga mungkin tidak akan menerima rawatan yang sebaiknya.

“Jika lebih malang, tiada lagi katil di hospital. Apatah lagi jika anda tenat dan kritikal,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam turut berkongsi penulisan Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Noor Azimi Yunus berhubung Kluster Hari Raya yang berpunca daripada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) hanya kerana ingin beraya.

Kata Dr Noor Azimi daerah di Hulu Terengganu sebagai contoh yang sebelum ini berstatus hijau dalam tempoh yang lama bertukar ke status merah dalam sekelip mata.

“Gara gara masih ada yang melanggar SOP hanya kerana ingin beraya. Rentas negeri masa raya dan ziarah raya. Akhirnya seluruh mukim Kuala Berang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membendung penularan yang besar. Sekelip mata terdapat 124 kes aktif yang disumbangkan oleh lima kluster aktif di Hulu Terengganu,” katanya.

Beliau juga berkata orang ramai perlu berhenti menyalahkan pihak lain atas peningkatan kes COVID-19 sebaliknya mengaitkan musibah tersebut kerana kesalahan diri sendiri.

“Hakikatnya kita yang salah. Akhirnya kita nangis sama-sama melihat angka kematian meningkat setiap hari merentas sempadan umur.

“Kalau kita nak kawal dan putuskan rantaian cepat semua perlu duduk di rumah dan keluar bila perlu sahaja,” katanya.— AlHijrah Online

Leave a Reply