SHAH ALAM: Lebih 400 kilogram (kg) makanan bazar Ramadan yang tidak habis dijual, telah ‘diselamatkan’ oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.
Inisiatif MySave Food @ Bazar Ramadan 2024 yang dijalankan MBSA itu dapat mengelakkan daripada pembuangan makanan yang tidak habis dijual.
Rata-rata netizen memuji langkah yang diambil MBSA bagi mengelakkan pembaziran serta menggalakkan peniaga untuk bersedekah.
Menerusi hantarannya di Facebook, makanan lebihan yang dikumpulkan di beberapa bazar di Shah Alam akan diagihkan ke beberapa kawasan penempatan di Shah Alam.
“Untuk hari pertama sahaja MBSA telah ‘menyelamatkan’ lebihan makanan sebanyak 429.8kg.
“Makanan lebihan yang telah dikumpulkan telah diagihkan ke Pangsapuri Melewar Seksyen U1, Politeknik Shah Alam, Surau Al Hijrah Pangsapuri Ken Rimba Seksyen 16 serta Flat Proton Seksyen 27 Shah Alam,” katanya.
MBSA MySave Food @ Bazar Ramadan 2024 itu melibatkan tiga lokasi iaitu Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13, Bazar Ramadhan Seksyen 17 serta Bazar Ramadhan Seksyen 19.
MBSA berkata, para peniaga bazar di lokasi terlibat boleh menghantar lebihan makanan yang tidak habis dijual ke khemah yang disediakan. kemudian akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan.—AlHijrah Online