MENTERI, AKTIVIS, PENGGIAT SENI WARNAI PRU-15 DI SELANGOR

 

Tengku Zafrul, Kuan Chee Heng, Eizlan Yusof

SHAH ALAM: Selain tokoh berstatus menteri, kemunculan aktivis masyarakat serta penggiat seni tempatan sebagai calon adalah antara yang mewarnai landskap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Selangor.

Antara yang menjadi tumpuan adalah kehadiran Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang sebelum ini menyandang kerusi Parlimen Rembau di Negeri Sembilan untuk mewakili Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Selangor.

Turut menjadi tumpuan adalah penampilan sulung Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang mempunyai latar belakang perbankan dan korporat, dalam gelanggang politik secara rasmi apabila mewakili BN di kerusi Kuala Selangor.

Antara saingan beliau adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuala Selangor itu.

Aktivis yang banyak mengetengahkan isu jalan berlubang iaitu pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood Azlan Sani Zawawi atau lebih  dikenali sebagai Lando turun ke gelanggang politik apabila bertanding di kerusi Tanjong Karang mewakili Pejuang.

Aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang mencuba nasib pada PRU15 di Parlimen Puchong sebagai calon bebas. Kuan pernah bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2019.

Turut menarik perhatian adalah kemunculan penggiat seni seperti pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof atau nama sebenarnya Datuk Seri Idris Md Yusof sebagai calon Pejuang di kerusi Parlimen Sabak Bernam, dan penerbit filem tempatan S. Surendhar yang bertanding atas tiket bebas di Parlimen Kota Raja.

Parlimen Gombak adalah antara kerusi tumpuan di Selangor melibatkan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Perikatan Nasional) untuk mempertahankan kerusinya, yang antara pencabarnya adalah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang mewakili PH, selain Datuk Megat Zulkarnain Omardin (BN), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang) dan calon bebas Zulkifli Ahmad.

Penyandang kerusi Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamaruddin dari Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pula akan terlibat dalam saingan sembilan penjuru, yang juga kerusi teramai ditandingi di kawasan Parlimen Selangor.

PRU15 di Selangor turut melibatkan saingan lapan penjuru di tiga kerusi Parlimen; tujuh penjuru (tiga kerusi); enam penjuru (empat kerusi; lima penjuru (tiga kerusi), empat penjuru (lima kerusi) dan tiga penjuru di dua kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai tarikh pengundian manakala pengundian awal pada 15 Nov. –AlHijrah Online

Leave a Reply