MENTERI KABINET DIARAH JALANI UJIAN CALITAN COVID-19

PUTRAJAYA: Susulan dua menteri disahkan positif COVID-19, semua menteri Kabinet telah diarahkan untuk membuat ujian saringan COVID-19.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, tindakan ini merupakan langkah pencegahan dan pengawalan wabak tersebut dalam kalangan menteri-menteri Kabinet.

“Dalam penilaian risiko, di dalam kit ujian RT-PCR, kami ada CT-Value iaitu Cycle Threshold (CT) value, yang boleh kami tentukan hari atau masa sebelum mereka berjangkit,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) dan Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Dr Adham memaklumkan bahawa akan ada petugas perubatan kesihatan awam akan menilai sama ada menteri Kabinet akan diarahkan untuk menjalani kuarantin atau boleh meneruskan jadual mereka seperti biasa.

Tambahnya, penilaian risiko akan dibuat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya dan mereka akan mengeluarkan garis panduan kepada jemaah menteri terlibat bagi langkah susulan.

“Penilaian risiko dibuat oleh pasukan petugas perubatan yang pakar dalam kesihatan awam dan mereka akan menilai risiko bagaimana penularan itu berlaku dan bila. Kami akan tahu bila bermula jangkitan itu dan dia (pakar perubatan) akan memberikan panduan,” katanya.

Terdahulu, dua menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, telah disahkan positif COVID-19.—AlHijrah Online

Leave a Reply