MISI KEMANUSIAAN HM4P DUA MINGGU HULUR BANTUAN KEPADA WARGA PALESTIN

SEPANG: Lima anggota misi “Humanitarian Mission 4 Palestine” (HM4P) berlepas ke Jordan awal pagi ini untuk misi kemanusiaan di Al-Quds dan Gaza.

Misi itu diketuai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Misi dua minggu itu bertujuan menyatakan solidariti rakyat Malaysia dan UMNO kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat selepas serangan 11 hari oleh rejim Zionis ke atas Gaza bulan lepas,” katanya kepada Bernama pada majlis pelepasan ringkas di sini malam tadi.

Abdul Azeez berkata HM4P juga akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berbentuk kewangan, bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan warga Palestin yang terjejas di Gaza ekoran serangan oleh tentera Israel bulan lepas.

Misi itu, kata beliau, bermula dengan lima orang berlepas ke Jordan pada 2.20 pagi ini dan transit di Abu Dhabi sebelum tiba di Amman pukul 9.30 pagi (19 Jun).

Abdul Azeez berkata misi itu akan diikuti enam anggota pasukan peninjau yang akan berlepas ke Kaherah, Mesir malam ini.

Beliau berkata pasukan utama dianggotai pakar perubatan dan doktor serta wakil Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga dijangka berlepas minggu depan selepas semua kelulusan diperoleh terutama daripada kerajaan Mesir.

Abdul Azeez berkata sekiranya berjaya memasuki wilayah konflik Gaza melalui pintu sempadan Rafah yang dikuasai Mesir, perancangan juga dibuat HM4P untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Palestin bagi mencari ruang dan kerjasama untuk UMNO membantu Palestin dalam konteks kepentingan ummah di masa akan datang.

Serangan rejim Israel ke atas wilayah konflik Gaza yang berakhir dengan gencatan senjata pada 21 Mei lepas menyaksikan kemusnahan harta benda selain mengorbankan lebih 250 warga Palestin termasuk 66 kanak-kanak.

Dilaporkan lebih 77,000 warga Palestin di Gaza hilang tempat tinggal akibat serangan rejim Israel serta kemusnahan di Masjid Al-Aqsa akibat pertempuran antara pihak berkuasa Israel dengan warga Palestin yang mempertahankan masjid tersebut.– BERNAMA

Leave a Reply