MOVENPICK BEROPERASI SEBAGAI PPV MEGA BERMULA ISNIN

SEPANG: Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA (Movenpick) akan mula beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega, mulai Isnin ini.

Pengurus Besarnya, Wan Enderi Mohd Saad berkata, PPV tersebut beroperasi setiap hari bermula 8.30 pagi hingga 9 malam.

Menurutnya, ia menjadi satu penghormatan apabila Movenpick terpilih sebagai PPV mega bagi daerah itu.

Tambahnya, kolaborasi diantara Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Pihak Pengurusan Movenpick adalah atas dasar tanggungjawab sosial korporat dan juga nilai kemasyarakatan serta usaha untuk mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Perkhidmatan disediakan tidak terhad kepada tetamu hotel tetapi juga diperluaskan kepada komuniti.

“Ia sebahagian tanggungjawab sosial korporat kami dan satu cara syarikat memberi balik kepada komuniti setempat.

“Sebagai sebuah pemain industri pelancongan negara, pihak hotel berharap apabila negara mencapai imuniti kelompok dan kerajaan mempertimbangkan untuk membuka industri pelancongan domestik dengan lebih cepat yang secara amnya nanti dapat membantu industri perhotelan kembali membangun,” menerusi kenyataannya, hari ini.

Wan Enderi mengulas, Pusat Konvensyen Movenpick KLIA mempunyai keluasan 16,572 meter persegi dan mampu menampung kapasiti sebanyak 5,000 janji temu setiap hari.

Tambahnya, sistem operasi hotel juga diselaraskan bagi memastikan garis panduan keselamatan dipatuhi sepenuhnya.

“Maklumat penuh berkenaan perjalanan vaksin di Movenpick boleh didapati di laman web rasmi kami dengan mengimbas kod bar yang tertera,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply