JULAI HINGGA SEPTEMBER TEMPOH KRITIKAL PICK, MALAYSIA TERIMA LEBIH 12 JUTA DOS VAKSIN

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tempoh tiga bulan akan datang merupakan tempoh yang sangat sibuk dan kritikal bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Malaysia akan mula menerima bekalan dos vaksin dalam jumlah yang sangat besar, bermula bulan ini hingga September.

Menurutnya, lebih 12 juta dos vaksin akan diterima pada bulan ini sahaja, berbanding kadar vaksinasi sejak PICK bermula pada Februari lalu iaitu sekitar 8 juta dos.

“Sudah pasti Julai akan menjadi tempoh yang genting buat PICK apabila kapasiti pemberian vaksin ditingkatkan di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Malaysia turut menerima sumbangan satu juta dos vaksin AstraZeneca daripada Jepun di samping sumbangan vaksin daripada negara Amerika Syarikat dan China.

“Bagi memastikan cabaran pada bulan-bulan mendatang dilalui dengan teratur dan lancar, kapasiti vaksinasi di seluruh negara akan ditingkatkan dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Tenaga kerja kesihatan dan sukarelawan akan ditambah. Ketika ini, sebanyak 1,400 PPV sedang beroperasi di seluruh negara, selain PPV dalam pelbagai bentuk serta saiz, termasuk secara sementara di perkampungan Orang Asli.

“Kita turut membuka PPV di rumah ibadat, sekolah, universiti, dewan komuniti, tempat kerja, kawasan perladangan dan restoran, selain berteraskan konsep pandu lalu,” katanya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, demi memastikan kelancaran PICK, aplikasi MySejahtera akan sentiasa ditambah baik bagi membolehkan sebarang isu yang timbul berupara diatasi dengan segera.

“Kerjasama setiap masyarakat penting untuk membolehkan PICK mencapai kejayaan. Tempoh beberapa bulan mendatang akan menentukan kejayaan kita.

“Insya-Allah, dengan usaha berterusan yang kita sama-sama lakukan, kita mampu mencapainya,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply