MPN SYOR SEMPADAN NEGARA DIBUKA SEPENUHNYA SEAWAL 1 MAC

Sumber Gambar: AFP

PUTRAJAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan agar sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac 2022, tanpa keperluan kuarantin wajib.

Bagaimanapun, Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ujian COVID-19 perlu dilakukan sebelum berlepas dan sebaik tiba di pintu sempadan negeri mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pembukaan sempadan negara perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN kedua, di sini hari ini.

Syor tersebut katanya dibuat bagi menyokong pemulihan negara.

Jelas Muhyiddin, cadangan pembukaan sempadan itu terpakai kepada semua negara.

“Menteri Kesihatan (Khairy) bagi tahu tadi dalam taklimat kalau kita nak pilih negara, Omicron dah ada dalam seluruh negara dan masyarakat. Jadi tak boleh memilih.

“Tapi mungkin akan ada maklumat lanjut yang akan diumumkan Kementerian Kesihatan nanti. Saya hanya mengumumkan keputusan MPN,” jelasnya.–AlHijrah Online

Leave a Reply